‘Selagi ada hayat kena cari ilmu…’ – Tun Dr Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR: Berpegang kepada prinsip selagi ada hayat harus mencari ilmu, Tun Dr Daim Zainuddin tekad menghabiskan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) sehingga dianugerahkan PhD dalam bidang Sastera dan Sains Sosial pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-59 di sini hari ini.

Meskipun mengambil masa 11 tahun untuk menghabiskan pengajiannya, tempoh panjang itu ternyata berbaloi buat bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu kerana akhirnya menyiapkan tesis bertajuk ‘Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu: Kejayaan dan Kegagalan 1970-2008’.

Lebih manis, hari bersejarah bagi bekas Menteri Kewangan itu dikongsi bersama isteri, Toh Puan Naimah Khalid serta lima anak, enam cucu dan seorang cicit pada majlis konvokesyen untuk memberi sokongan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Canselor UM berkenan menyampaikan ijazah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima ijazah itu, Daim yang berusia 81 tahun, berkata faktor kesihatan dan kesibukan menjadi halangan utama untuk menghabiskan pengajian dalam tempoh sepatutnya, malah terpaksa menangguhkan pengajian selama lima tahun akibat masalah kesihatan.

“Saya mula sejak 2008, daripada boleh berjalan sekarang sudah bertongkat… daripada sihat, sekarang sudah tidak kuat.

“Selagi ada hayat kena cari ilmu kerana ia penting untuk mencapai kejayaan tetapi ilmu juga mesti digunakan untuk kebaikan, tidak boleh digunakan untuk keburukan.

“Memang banyak (cabaran)… sakit, macam-macam penyakit antaranya penglihatan tidak jelas. Itu salah satu sebab ambil masa, apatah lagi saya ada tugas lain. Jadi kena buat secara separuh masa, ” katanya.

Ditanya faktor dirinya mahu menyambung pengajian meskipun kini berada di usia emas, Daim berkata ia rentetan kekerapan beliau diminta memberi syarahan berhubung isu Dasar Ekonomi Baharu yang memerlukan penyelidikan mendalam.

“Justeru, saya perlu melakukan banyak penyelidikan dan tempat terbaik untuk membuat penyelidikan adalah di universiti (menyambung pengajian). Saya akan datang ke UM dua kali seminggu untuk membuat penyelidikan,” katanya.

Beliau berharap penemuan dalam tesisnya itu mampu menjadi panduan buat kerajaan khususnya dalam aspek pendidikan demi memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik kerana kejayaan seharusnya berdasarkan pencapaian dan bukannya hanya memenuhi kehendak.

“Negara kita mempunyai bilangan tertinggi bagi individu berpendidikan tinggi, namun masih ramai yang tidak bekerja kerana kesilapan dalam memilih pekerjaan di pasaran kerjaya,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: Bharian

Be the first to comment

Leave a Reply